Sejarah Stesen

RTM Limbang merupakan stesen kawasan yang pertama dibangunkan selepas RTM Kuching, Sarawak. Stesen ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Gabenor Sarawak, Tun Datu Tuanku Hj.Bujang bin Tuanku Hj. Othman pada 17 April 1971. Kerajaan pusat telah memperuntukkan sebanyak RM2.1 juta bagi pembinaan bangunan ini.

Bangunan Penyiaran Limbang terletak di kawasan seluas 1 hektar di Jalan Penyiaran yang dahulunya Jalan Fisher dan jaraknya hanya 1 kilometer dari pusat bandar Limbang. Manakala stesen pemancar pula terletak di kawasan seluas 11.78 hektar di Jalan Kubong, 5 kilometer dari bangunan penyiaran.       

Mendiang Chew Hock Guan menjadi Pengawal Penyiaran yang pertama untuk stesen ini manakala Encik Tuah Idris sebagai Ketua Bahagian Rancangan yang pertama. Jumlah kakitangan ketika itu cuma sekitar 25 orang merangkumi Bahagian Rancangan, Kejuruteraan dan Pentadbiran.

Siaran tempatan dinamakan Rangkaian Merah untuk dua perkhidmatan bahasa iaitu Bahasa Bisaya dan Lun Bawang manakala Rangkaian Kuning untuk Perkhidmatan Bahasa Melayu.

Siaran bermula pada jam 6.30 petang dengan Perkhidmatan Bisaya hingga pukul 7.00 malam (30 minit) diikuti dengan Perkhidmatan Lun Bawang dari pukul 7.00 malam hingga 7.30 malam (30 minit). Siaran dipancarkan melalui gelombang sederhana (MW) 344 meter / 873 kilohertz.

Siaran berakhir dengan Perkhidmatan Melayu dari pukul 7.30 malam hingga 8.30 malam (1 jam). Siaran dipancarkan melalui gelombang sederhana (MW) 463 meter /648 kilohertz.

Skop liputan dan pancaran stesen ini boleh diikuti dengan jelas di negara jiran Negara Brunei Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan dan sebahagian daripada Negeri Sabah terutama daerah Beaufort, Sipitang, Long Pa' Sia dan Kalimantan.